Blogger Widgets

Tuesday, 27 November 2012


KESALAHAN PENGGUNAAN TATABAHASA DI DALAM BILIK DARJAH

KESALAHAN AYAT

            Terdapat beberapa kesalahan ayat yang dapat dikenal pasti yang sering dilakukan oleh murid-murid semasa pembelajaran Bahasa Melayu di bilik darjah. Antaranya ialah:

i           Ayat tergantung.
ii          Struktur ayat yang salah.
iii         Ayat gabungan
iv         Ayat pancangan

1)       Ayat Tergantung.

  Ayat terdiri daripada subjek dan predikat. Dalam susunan ayat biasa, subjek terletak di depan dan predikat di belakang. 

Contoh:
Rumah itu agak besar.
Rumah itu – subjek (di depan)            agak besar – predikat (di belakang)
Apabila sesuatu yang diucapkan itu tidak mempunyai subjek atau predikat, maka bentuk ujaran itu disebut ayat tergantung.

2)         Kesalahan Struktur Ayat :

Ayat ialah struktur yang mengandungi topik cerita dan cerita mengenai topik itu serta mempunyai makna yang lengkap dan logik. Sesuatu ayat mesti mengandungi subjek dan predikat. Dalam struktur dasarnya, ayat terbentuk daripada susunan subjek diikuti predikat. Ayat yang salah dari segi strukturnya  menyebabkan makna ayat tersebut kabur dan sukar difahami.

Contoh : Struktur salah :
Encik Sabri menerima daripada penganjur cek kemenangannya.
Mereka dikehendaki dalam masa seminggu menyiapkan kerja itu.
Struktur betul:
Encik Sabri menerima cek kemenangannya daripada penganjur.
Mereka dikehendaki menyiapkan kerja itu dalam masa seminggu.

3)         Kesalahan ayat majmuk gabungan :

Ayat gabungan terbentuk daripada dua atau beberapa ayat  tunggal yang digabungkan dengan kata hubung. Kesalahan dalam pembentukan ayat gabungan berlaku apabila ayat-ayat tunggal yang
membentuk ayat gabungan tidak digabungkan dengan betul dan 
menggugurkan kata sendi pada unsur yang kedua.
Contoh : Salah :
Agar semua ahli berusaha bersungguh-sungguh, kejayaan akan dicapai.
Mereka akan melancong ke Medan atau Bandung?
Betul :
Jika semua ahli berusaha bersungguh-sungguh, kejayaan akan dicapai.
Mereka akan melancong ke Medan atau ke Bandung?

4)         Kesalahan ayat majmuk pancangan :

Ayat pancangan ialah ayat yang berasal daripada dua ayat tunggal 
yang salah satunya dipancangkan pada ayat yang satu lagi. 

Kesalahan dalam pembentukan ayat pancangan berlaku apabila unsur penerang dalam ayat tersebut salah strukturnya.

Salah :
Banglo mewah itu yang terletak di pinggir bukit tidak ada penghuninya.
Betul :
Banglo mewah itu yang terletak di pinggir bukit itu tidak ada penghuninya.

Kesalahan ayat pancangan juga berlaku apabila tidak ada kata hubung kata hubung pancangan yang menghubungkan antara ayat kecil dengan ayat induk.

Salah :
Ibu berdoa  kamu beroleh kejayaan.
Semua orang tahu dia penyanyi tersohor.
Betul :
Ibu berdoa agar kamu beroleh kejayaan.
Semua orang tahu bahawa dia penyanyi tersohor.

No comments:

Post a Comment